Tuesday, May 8, 2012

Rekaan dalaman bilik darjah

Subuh ini saya hendak menyentuh sedikit bab rekaan dalaman bilik darjah yang bukannya satu perkara baru. Sudah begitu ramai pengkaji yang telah membuktikan bahawa faktor keserasian bilik darjah dengan perkembangan positif minda para pelajar amatlah berkait rapat.

Secara ringkas, rekaan dalaman bilik darjah bukanlah suatu inisiatif yeng memerlukan bajet besar. Kreativiti "besar" yang semestinya diperlukan. Rekaan dalaman yang disyorkan oleh para pakar sangat mudah untuk diikuti. Justeru, sewajarnya tiada alasan lagi untuk para guru dan murid untuk tidak mengambil berat akan hal ini.

Asas pengetahuan rekaan dalaman bilik darjah sama sahaja dengan asas ilmu rekaan dalaman yang lain. Cuma di sini fungsinya amat jelas iaitu bilik darjah sekolah rendah. Maknanya elemen seperti meja dan kerusi yang banyak, sudut mini perpustakaan dan sudut papan makluman perlulah disusun sekemas yang boleh. Kemas itu yang ingin saya sentuh.

Asas ilmu rekaan dalaman melibatkan dua faktor penting. Ruang dan warna. Itu sahaja. Ruang dan warna bilik darjah sekolah yang hendak kita wujudkan nanti hendaknya menterjemah kekemasan yang dimaksudkan.

Ruang bilik darjah dan kemas secara umumnya bergantung kepada saiz dan bentuk bilik darjah itu sendiri. Apa pun saiz dan bentuknya, ruang yang kemas bermaksud para pelajar dan guru dapat bergerak dan "bernafas" sebebasnya antara susunan kerusi, meja dan "benda tidak bernyawa" yang lain dalam kelas.

Warna dan kemas pula mengundang ilmu spektrum warna dan psikologi. Umumnya, warna untuk psikologi  bilik darjah yang kemas ialah warna sekunder. Warna ini sesuai untuk latar belakang kelas. Dan, bilangan warna latar belakang kelas yang dipilih pula tidak melebihi  dua warna. Warna sekundar jingga "suam" yang dapat menerbitkan rangsangan optisme para pelajar amatlah digalakkan. Warna-warna lain yang hendak dimasukkan dalam bilik darjah (warna langsir umpamanya) perlulah menurut spektrum (tone) warna latar belakang yang dipilih. Boleh saja warna yang berbeza cuma ia tidak seharusnya terlalu berlawanan kerana ia mengundang distraction atau gangguan separa sedar. Gangguan tumpuan para pelajar boleh juga disebabkan oleh bilik darjah yang berwarna-warni (tidak termasuk tadika dan tabika).

Mudahkan. Selepas ini, para guru dan murid bolehlah memulai rekaan dalaman (bukan hiasan!) bilik darjah dengan hanya membuat sentuhan asas terlebih dahulu. Asas ini adalah fundamental. Faktor lain yang wajar diberi perhatian seperti pencahayaan, akustika dan pengaruh teknologi, kita akan bincang nanti di kemudian hari...


Allah jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Rekaan luaran...



No comments:

Post a Comment