Bicara soal minda semakin menyelam sedalam-dalamnya. Kita sebagai guru seharusnya mengikuti perbincangan mengenainya sedekat mungkin agar pengajaran dan pembelajaran kita bertambah berkat. Maknanya pengajaran dan pembelajaran yang semakin bertenaga lagi berkuasa. Pagi ini, saya tidak berniat mengulas panjang lebar berkenaan teori atau kajian terperinci tentang minda sedar dan separa sedar. Hal itu, ketika ini sudah banyak diperkatakan dan boleh diakses dengan mudah di banyak laman sesawang yang lebih layak lantaran kepakaran mereka.
Seperkara yang ingin disedut ke nukilan ringkas ini ialah soal reaksi kita yang perlahan, terlalu perlahan, terhadap perkembangan dunia minda sedar dan separa sedar. Hari demi hari, rahsia demi rahsia minda sedar dan separa sedar dibongkar. Namun, kita masih belum mahu bingkas lalu segera menggubal modul rasmi pendidikan untuk dimasukkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Ianya masih diletakkan sebagai inisiatif guru masing-masing. Kreativiti guru masing-masing. Maknanya, soal minda sedar dan separa sedar ini masih belum dianggap sebagai satu keutamaan dalam pelaksanaan rencana pendidikan negara.
Sebenarnya, "minda sedar dan separa sedar" ini hanyalah istilah sains moden yang cuba menggambarkan "akal" dengan konotasi "misteri". Walhal ia adalah akal itu sendiri. Akal berakar daripada istilah Arab al-'akl.
Perbincangan berkaitan akal sangatlah memerlukan daya konsentrasi tinggi dan penuh. Tenaga fokus yang digunakan semamangnya besar. Ini kerana kadar kekeliruan untuk berlaku amat tinggi. Tidak hairanlah budaya untuk mengangkat ilmu ini masih kabur dalam masyarakat kita di sini. Apatah lagi dalam kawasan sekolah kita.
Justeru, warga guru harus aktif memain peranan dalam hal ini. Kita wajar membudayakannya terlebih dahulu dalam lingkungan kita. Lalu, kita perlu pantas dan kemas menyulam ilmu ini ke dalam pengajaran dan pembelajaran kita di sekolah. Ini kerana kita punya misi sekolah yang jelas dan laluan inilah sahaja yang dapat membawa kita kepada pencapaian yang diidami itu.
Dan, kita maklum bahawa kecemerlangan akademik pelajar merupakan faktor dominan untuk memenuhi kriteria pencapaian yang disebutkan. Maka kita perlu aktifkan segera punat minda separa sedar para pelajar dan guru agar pencapaian dapat diperolehi secara quantum leap atau melangkaui batas masa. Bentuk latihan bertubi-tubi di sekolah tidak akan serupa lagi seperti sebelumnya kerana punat minda separa sedar sudah diaktifkan.
Maknanya, dalam kebanyakan episod pengajaran dan pembelajaran di sekolah, minda sedar guru dan pelajar akan disenyapkan. Ya, minda sedar para pelajar dan guru "senyap". Minda separa sedar yang mengemudi sekarang. Minda separa sedar yang melakukan pengajaran dan pembelajaran. Minda separa sedar yang akan mengubah diri para pelajar secara menyeluruh agar stabil menerima kecemerlangan demi kecemerlangan.
Kelihatan hal ini terlalu melangit sifatnya kan... Tetapi, tidak, jawabnya kalau kita menggapnya mustahil. Para pakar dalam bidang ini sudah banyak bukti berkaitan keupayaan minda sedar dan separa sedar ini. Keadaan ini boleh berlaku kerana 90% keupayaan akal berada dalam kawasan minda separa sedar.
Maknanya, paling kurang 50% kejayaan misi sekolah sudah berada dalam tangan kita dengan hanya meyakini hakikat ini!
Allah jua yang Maha Megetahui segalanya.
Akal sebenar ada di luar sana... |
No comments:
Post a Comment