Seperkara yang paling jarang saya dengar atau temui dalam ruang keliling saya ialah bicara soal keutamaan. Secara jujur, hal ini memang kurang mendapat tempat di hati para guru dan ibu bapa. Keperluan perbincangan yang kerap untuk mengenal pasti dan mengurus keutamaan yang sering berubah-ubah, bagi memastikan bermutunya pengajaran dan pembelajaran kepada para murid sekolah tidak wajar disangkal lagi. Eloklah memulakan langkah. Dan, derap pertama kita itu ialah menyenaraikan terlebih dahulu perkara-perkara yang difikirkan patut menjadi keutamaan kita dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Jika perlu, ajak sekali para ibu bapa yang punya kelapangan dan kepedulian.
Kenyataan itu ringkas. Hakikatnya ketelitian memang perlu diberi perhatian, tetapi biarlah dulu bab itu dibaca kemudian. Saya lihat membudayakan hal berbincang soal keutamaan dalam ruang keliling para guru, ibu dan bapa merupakan senarai teratas yang agak kritikal statusnya. Dan, ini bukannya mudah. Perlukan masa dan pengorbanan. Namun, saya yakin hanya dengan cara ini prestasi pengajaran dan pembelajaran guru-guru dan ibu bapa dapat dipertingkatkan dengan pantas dan kemas.
Coretan ini kelihatannya seperti luahan. Ya, dan ia sekaligus merupakan seruan kepada semua guru terutamanya agar memulakan manifestasi ini. Mari kita lakukannya sehingga dapat digambarkan satu suasana di kantin sekolah para guru dan ibu bapa berehat sambil santai manjamu minda dengan pertukaran idea. Percambahan minda di sana sini sehingga para murid dapat melihat satu suasana keilmuan yang sudah cukup merengsang mereka untuk terus cemerlang.
Selepas ini, saya akan memulakan tinjauan berkaitan senarai sebenar perkara-perkara yang patut menjadi keutamaan kita dalam merencana kecemerlangan menyeluruh anak-anak didik kita. Saya harap para guru sekalian bersama para ibu bapa dapat meluangkan sedikit masa untuk hal itu nanti. Hasil tinjauan itu nanti akan menjadi pegangan kita (harapnya begitu) dalam mana-mana mesyuarat berkaitan pendidikan yang kita hadiri di sekolah atau pun dengan para pemimpin masyarakat setempat.
Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.
Kembangan dan haruman sebenar bungaan ada di luar sana... |
Sempatkah kita menikmatinya... |
No comments:
Post a Comment