Tuesday, May 29, 2012

Minda: Cuti atau Rehat?

Minda pastinya tidak pernah cuti.

Rehat? Minda sedar perlu rehat malah perlu direhatkan. Didiamkan.

Dalam keadaan yang ditentukan minda sedar (berfikir, beremosi, banyak soal dan seumpamanya) perlu didiamkan.

Ini namanya rehat!

Aduhai...

Sukar?

Ya, memang sukar untuk melakukannya bagi kebanyakan orang. Justeru, bantuan luar diperlukan untuk mendapat rehat yang dimaksudkan.

Terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam memperkembang ilmu dan teknologi minda. Hari ini ramai manusia mendapat banyak manfaat melaluinya. Google saja istilah-istilah dan gambar-gambar di bawah anda akan dihidang dengan jutaan maklumat berkenaan kaedah dan latihan merehat atau mendiamkan minda, untuk tujuan pemarakkan minda secara optima!

Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.









Friday, May 25, 2012

Minda: Cuti !! ??

Hari ini bermula cuti persekolahan.
Ada rancangan?
Melancong? Berkelah? Beli-belah?
Bersama keluarga...

Apa pun aktiviti
minda tidak pernah mengenal erti cuti!
itu yang pasti.

Satu perkara yang menarik tentang cuti, terutama berkaitan guru dan murid, ialah...

Tidur!

Boleh tidak kita senaraikan pantang dan larang dalam oal tidur?

Tidur pun ada pantang larang!?

Pantang larang yang dimaksudkan di sini adalah perkara-perkara yang JANGAN dibuat semasa tidur, jika dibuat juga akan menyebabkan kelemahan pada akal, antaranya:

[+] Tidur selepas Subuh
[+] Tidur dengan badan terkena cahaya matahari
[+] Tidur selepas Asar
[+] Tidur hampir Maghrib

Tahukah anda bahwa tidur dengan belakang tengkuk juga boleh membawa kepada kelemahan akal, dan sukar untuk mengingat?

tidur dengan belakang tengkuk = tidur terlentang.

Oleh itu, elakkan!

Tidur yang baik adalah tidur mengiring ke kanan, inilah juga gaya tidur yang disarankan Rasulullah saw, selain itu ianya bermanfaat untuk kesihatan kerana organ-organ dalaman tidak dihimpit oleh perut.

Berapa jamkah tidur yang ideal?

Kanak-kanak biasanya perlukan 8 jam atau lebih sikit. Tapi untuk orang dewasa atau 20 tahun ke atas ada
sedikit polemik, ada pendapat mengatakan 8 jam, ada kajian menunjukkan 6 jam sudah memadai, malah  satu kajian lain pula menunjukkan bahawa 4 jam sehari sudah mencukupi. Ramai orang yang berjaya hanya tidur sedikit sekitar 4 jam saja, namun tetap bertenaga. Wallahualam.

Allah jua Maha Mengetahui Segalanya.


Cuti sebenar ada di luar sana...





Thursday, May 24, 2012

Guru, Keutamaan dan Keajaiban

Guru dan keutamaan dalam kecemerlangan sekolah secara keseluruhan pastinya bukan inisiatif pemikiran sehari semalam. Hal ehwal yang berkaitan merangkum banyak perkara. Justeru, saya sendiri masih berharap (berdoa) agar 'keajaiban' berlaku.

Guru, keutamaan dan keajaiban bukan ilusi. Saya cukup yakin dengan kuasa dan kemampuan akal kurniaan Allah s.w.t. Pembuktian boleh saja dikutip di mana-mana. Sungguh pun realiti dalam ruang keliling (Keutamaan) mempamer gambaran sebaliknya, ia masih tidak dapat menggugat hakikat keutamaan minda itu sendiri.

Sekolah kita pasti boleh setanding dengan sekolah lain yang terbukti keunggulannya!

Kita hanya perlu yakin dengan amalan betul yang dilakukan secara berterusan. Semua pakar minda dan pembangunan sumber manusia berkata sedemikian.

Amalan pemakanan (Minda: Diet), kurikulum sekolah dilaksana dalam suasana kreatif, guru-guru berterusan memperkasa minda, suasana sekolah direka agar serasi dan mesra minda, PIBG proaktif, dan senarai ini akan memanjang lagi dan lagi. Pangkalnya adalah keutuhan keyakinan bahawa keupayaan minda adalah lebih ajaib daripada apa yang kita sedari!(Minda: Separa sedar dan potensi)


  1. Minda : Mukadimah
  2. Minda: Sedar dan separa sedar
  3. Minda: Tubuh badan yang sihat
  4. Minda: Genius
  5. dan seumpamanya...

Ayuh, kita derapkan kaki sekarang juga!


Allah s.w.t jua yang Maha Mengathui segalanya.


Teruskan !

Sunday, May 20, 2012

Minda: Fokus (mesyuarat)


Author: Simone Kauffeld and Nale Lehmann-Willenbrock (Technische Universität Braunschweig)
Publisher: Small Group Research, vol. 43, no. 2
Date Published: April 2012


Rakan-rakan jemputlah membaca pautan di atas. Banyak manfaat kepada kita sebagai guru, terutama dalam hal melibatkan peningkatan prestasi sekolah secara tidak langsung.

Kajian ini menunjukkan bahawa;

mesyuarat atau perbincangan kumpulan yang baik (fokus dan membina) punya nilai tinggi dalam hal prestasi organisasi. Dan, apa yang lebih bernilai dalam mengadakan meysuarat atau perbincangan yang baik ialah dengan tidak punya sebaliknya - kerana kesan buruk mesyuarat atau perbincangan tempang ke atas kepuasan kerja ahli, produktiviti kumpulan, dan prestasi organisasi secara keseluruhan adalah jauh lebih dramatik berbanding kesan positif mesyuarat yang dikendali dengan baik.

Jadi, silalah baca seterusnya. mudah-mudahan dengan perubahan yang berdikit-dikit akan meningkatkan prestasi diri dan sekolah kita, insyaAllah.


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Minda sebenar ada di luar sana...


Saturday, May 19, 2012

Minda: Diet - perkumuhan

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Setakat ini, kita sudah pun memahami kepentingan dua perkara dalam sistem penghadaman. Seterusnya, elemen yang ke-tiga ialah perkumuhan (sistem). Ringkasnya, pertama kita akan membuang air kecil dan kedua membuang air besar. Soalnya bagaimanakah keadaan pembuangan yang dikatakan sihat? atau keadaan yang sepatutnya, keadaan ideal?


Begini,

Buang air kecil - Lihat warna air kencing. Warna yang ideal ialah kuning kehijauan. Air kencing yang telalu kuning (keperangan) bermaksud badan kekurangan air. Air kencing yang jernih atau terlalu jernih bermaksud badan berlebihan air.

Buang air besar - Setiap hari! Atau dengan lebih tepat, tidak melebihi 24 jam! (dengan anggapan seseorang mengambil 3 kali makanan berat sehari, pagi-tengah hari-malam).

Mari kita tinjau dengan lebih terperinci berkaitan perkumuhan ini.

(Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia dan Program Perut Sihat VITAGEN)

Usus kecil - Dari perut, makanan akan melalui usus kecil. Jangan terpedaya dengan perkataan 'kecil' ini kerana usus kecil sebenarnya melebihi 6 meter panjang. Ia merupakan tempat utama bagi penyerapan nutrien. Pada permukaan usus kecil terdapat struktur seakan jari yang dikenali sebagai 'vili' dan pada permukaan vili ini pula terdapat struktur yang seakan jarum. Struktur vili yang unik ini akan menambah luas permukaan usus kecil dan membolehkan penyerapan nutrien yang lebih baik. Apabila dibentangkan, luas permukaan usus kecil anda adalah sebesar satu gelanggang tenis. Penyerapan bermula apabila molekul makanan menembusi vili untuk memasuki rangkaian kapilari darah. Aliran darah akan membawa molekul- molekul halus ini ke bahagian-bahagian tubuh yang lain untuk menjalani penukaran kimia yang seterusnya menjadi nutrien dan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk meneruskan kehidupan.

Usus besar - Tujuan utama usus besar adalah untuk menyerap sebanyak air yang boleh daripada makanan yang dimakan. Bahagian yang tidak diserap akan membentuk fesis yang terdiri daripada 75 peratus lembapan dan 25 peratus pepejal. Fesis akan disimpan di dalam bahagian terakhir usus besar yang dikenali sebagai rektum, dan akhirnya akan keluar daripada tubuh dalam bentuk tinja.

Koloni - Percaya atau tidak, terdapat bertrilion bakteria yang sedang tinggal dalam sistem penghadaman anda. Bakteria yang turut dikenali sebagai mikroflora usus ini akan menyokong kesihatan usus dengan membantu sistem penghadaman.Sesetengah kesan bermanfaat mikroflora usus adalah untuk membantu proses penghadaman dengan menghasilkan enzim penghadaman dan merangsang penghasilan sel-sel imun pada lapisan dinding usus.


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Friday, May 18, 2012

Minda: Inovatif

Sekiranya rakan-rakan punya masa, silalah baca artikel daripada Harvard Business Review di bawah. Ianya sangat berkaitan dengan tema Hari Guru kita tahun ini.


What innovators really want?
10:15 AM Thursday May 17, 2012 
by Andrea Ovans 



Artikel ini lebih bersifat pertembungan matlamat organisasi dan matlamat individu. Justeru, satu sudut dalam perkhidmatan kita, pandangan sebegini punya kebenaran juga.

Sudut lain yang lebih besar pada saya berhubung hasil tinjauan penulis artikel itu ialah bab patriotisme. Bab keperluan negara dan keperluan organisasi korporat (keuntungan material semata) jelas punya beza nyata yang pelbagai tapi saling berkait dan saling melengkapi. Dan, persepsi ini yang tidak disentuh oleh penulis dan para pengomen. Wallahualam.

Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Inovasi sebenar ada di luar sana...



Thursday, May 17, 2012

Minda: Diet - enzim

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Setakat ini, kita memahami bagaimana sistem pemakanan perlu difahami. Dan, kita telah bermula dengan soal air dan segala macam perkembangan terkini berkaitan kualitinya.

Kini, kita lihat pula enzim. Enzim amatlah penting (selepas air) kepada kesihatan dan juga kehidupan. Tanpa bekalan yang mencukupi, semua nutrien termasuk vitamin, mineral dan mineral surih tidak dapat digunakan dengan sempurna.

Malangnya, semua cara pemasakan (membakar, mendidih, mengukus, menggoreng, memanggang, menggril, dan memasak mengguna ketuhar) akan memusnahkan kesemua (100%) enzim. Maknanya, walau pun cara masak kita adalah sihat, makanan yang dihidang itu tetap tiada kandungan enzim.

Kita kena faham, tatkala penyerapan nutrien tidak sempurna maka keadaan keliru wujud. Kita menyangka bahawa diet yang diambil kurang mencukupi, lalu kita makan lagi. Salah. Membazir. Atau, kita menyangka perlulah mengambil suplemen (yang bermacam-macam rupanya tu!). Salah. Membazir. Rupa-rupanya, nutrien tidak dapat dierap oleh badan kerana kekurangan enzim!

Mari kita perbetulkan kefahaman. Wallahualam.


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Enzim sebenar ada di luar sana...



Minda : Genius 2

Semalam, saya menerima emel daripada En. Munib Ahmad lagi.

“Apa yang bestnya kalau punyai minda yang genius ni?”, tanyanya.

Untuk memudahkan pemahaman, minda yang genius adalah minda yang berkapasiti tinggi, di mana dengan mempunyai minda sebegini, kita  akan merasakan:

[+] Minda menjadi sentiasa  tajam dan aktif
[+] Daya  hafalan kekal lebih lama
[+] Sungguh mudahnya mengingat sesuatu fakta
[+] Lebih cepat menangkap sesuatu perkara
[+] Ada instinct - boleh merasakan sesuatu yang bakal berlaku
[+]  ..dan lain lain manfaat

Beliau seterusnya mengajak kita agar sentiasa memelihara akal dengan melatih minda menggunakan beberapa kaedah moden dan tradisional. Disamping amalan untuk menguatkan ingatan dan minda, latihan yang dikongsinya juga disertakan dengan doa-doa seperti doa pengunci hafalan, doa untuk menyinarkan hati dan mencerahkan akal, wirid untuk mencapai ilmu kebijaksanaan dan kepandaian bahasa, serta banyak lagi khazanah ilmu minda genius didedahkan.
En. Munib melampirkan hampir 30 macam doa-doa, boleh pilih mana yang berkenan di hati. Tak mahu yang panjang, ambil yang pendek dan ringkas. Panduan daripada En. Munib ini sesuai untuk semua golongan sama ada ibu bapa, pekerja, suri rumah tangga dan semua peringkat umur, ia bukanlah terhad untuk pelajar sahaja..
Memanglah, setiap orang pasti mahu menjadikan diri dan keluarga (terutama anak-anak) mereka bijak dan mempunyai akal yang hebatkan.

Begitulah ya :)



Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.

Genius sebenar ada di luar sana...

Dan, luar sana ada di dalam sini...


Wednesday, May 16, 2012

Minda : Guru

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Apakah keunikan seorang Guru?
Seorang Guru,
di Malaysia ini?
Di Sabah...
di Sandakan.

Merenung tema Hari Guru tu
terasa jauh hati
di kala membanding
diri dengan guru-guru lain.

Entahlah
guru-guru lain
entah berasa entah tidak
entahlah

Melainkan, Sabah
Sandakan
punya duduk berdiri
terbukti unggul
keupayaan mendidik

Merenung tema Hari Guru tu
terasa dekat hati
di kala mengingat
suatu masa
minda guru
bukan setakat melonjakkan
bukan setakat transformasikan.

Minda guru
akan meleburkan
tembok waja
segala macam
ilusi
fatamorgana
itu...


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.



Guru sebenar ada di luar sana...


Hari Guru Malaysia

Salam kepada semua Guru di Malaysia, khususnya rakan-rakan kenalan di SK Sibuga dan SK Muhibbah Sandakan.

Selamat menyambut Hari Guru.

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara"


Semoga Allah s.w.t memberkati kita semua.

Guru sebenar ada di luar sana...

Sila klik untuk maklumat lanjut




Tuesday, May 15, 2012

Minda: Diet - Air (siri akhir)

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.


Kita maklum kini bahawa air merupakan bab utama dalam pemakanan. Berikan perhatian khusus kepadanya. Pertama, (ulangan) sebagaimana saranan pakar-pakar pemakanan, amat penting bagi tubuh badan berada dalam keadaan pH yang optimum iaitu antara 7.35 - 7.45. Air beralkali adalah jawabnya. Dan, ya air Zam-zam merupakan air beralkali paling mujarab kuasa penawarnya setakat ini.

Sebenanarnya, tubuh badan kita punya penampan-penampan (buffers) semulajadi untuk mengekalkan tahap pH optimum ini. Namun, keseimbangan ini diganggu gugat lantaran gaya pemakanan yang kurang sihat dan tekanan hidup untuk jangka masa yang panjang. Usia yang semakin lanjut juga akan mempengaruhi keseimbangan pH badan.

Apa yang akan berlaku ialah pH badan bertukar menjadi lebih berasid akibat daripada tekanan hidup (stres), pengambilan makanan ringan yang berlebihan atau proses penuaan semulajadi. Maka tubuh badan pun menderitai pelbagai masalah kesihatan kronik.

Keduanya, air yang bertenaga! Berdasarkan kajian mendalam ke atas kristal beku, Dr. Masuru Emoto, seorang pakar dan penulis buku "Message in water" menyarankan bahawa di dunia, air adalah satu-satunya jirim yang dapat "menyimpan" kesan tenaga positif atau negatif apabila terdedah kepada tenaga-tenaga tersebut. Proses ini digelar sebagai kesan gema atau "resonance effect"!

Maknanya, apabila air terdedah kepada bahan tenaga positif seperti butiran seramik FIR dan medan magnetik, secara teorinya, air akan menyimpan gema positif yang punya kuasa penyembuh. Bukan setakat itu, menurut Dr. W. H Kim, profesor dari Universiti Yonsei, Korea, tenaga juga boleh disalurkan secara fizikal dengan memutarkan air. Air berpilin membantu meningkatkan tahap hidrogen dan oksigen. Wallahualam.



Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Air sebenar ada di luar sana...

Dalam sini juga ada di luar sana...



Minda: Diet - Air (episod 3)

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.


Hidrogen terlarut adalah antioksidan yang terbaik kerana ia amat mudah untuk menderma elektron-elektron untuk menstabilkan radikal bebas.

Memandangkan radikal-radikal bebas merupakan salah satu penyebab utama penuaan dan menyingkirkannya adalah mustahak untuk penjagaan kesihatan, maka air yang kaya dengan hidrogen amat bernilai untuk menangani penyakit-penyakit uzur.

Apabila kita meminum air berhidrogen, elektron yang berlebihan pada hidrogen akan berpasangan dengan radikal bebas yang kekurangan elektron. Tindak balas neutralisasi radikal bebas ini selanjutnya menghasilkan H2O (air) yang tidak meninggalkan kesan sampingan bahaya terhadap sistem tubuh badan. Oleh itu, hidrogen di dalam air dikenal pasti sebagai antioksidan yang amat mujarab. Wallahualam.



Bersambung...


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Air sebenar ada di luar sana...

Dan, luar sebenar ada di dalam sini...


Monday, May 14, 2012

Minda: Diet - Air (episod 2)

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Aduhai...

Beberapa tahun yang sudah, kita agak heboh dengan pendedahan para saintis dan pakar pemakanan tentang air beralakali yang punya rahsia kesihatan dan penyembuhan.

Tidak lama selepas itu, kemajuan pengetahuan berkaitan air maju setapak lagi dengan penemuan dan pendedahan bahawa airlah satu-satunya jirim di dunia yang dapat menyimpan kesan tenaga positif atau negatif apabila terdedah kepada tenaga-tenaga tersebut.

Dan, terkini kita dikejutkan dengan satu lagi keajaiban air. Air Mujarab. Kajian telah dilakukan ke atas beberapa sumber air di merata pelusuk dunia. Tempat-tempat ini amat terkenal dengan kunjungan setiap tahun ribuan manusia yang mengalami pelbagai masalah kesihatan. Mereka menggelar tempat-tempat ini "tempat suci".

Kunjungan mereka ke kawasan suci ini dengan satu tujuan sahaja - meminum air mujarab. Mereka berkelana ke mata air Lourdes yang terletak di Peranchis. Ada pula yang berkunjung ke gua Nordenau di Jerman. Atau, pilihan lain ialah mengembara ke telaga Tlacote, Mexico dan telaga Nadana, India...

Apakah sebenarnya yang mendorong mereka ini berkelana begitu jauh dari tanah air sendiri. Pengunjung-pengunjung ini percaya bahawa air yang terhasil secara semulajadi di kawasan-kawasan yang dinyatakan punya potensi memperlahankan proses penuaan dan berupaya mengubati masalah kesihatan kronik mereka!

Hakikatnya, adakah "air mujarab" ini sama seperti air minum biasa? Jawapannya sudah tentu tidak, dan perbezaannya amatlah ketara. Hidrogen! "Air mujarab" yang ditemui di kawasan-kawasan suci ini bukanlah mitos atau khayalan semata-mata. "Air mujarab" ini mempunyai satu persamaan lazim yang menakjubkan - kaya dengan hidrogen !

"Dalam satu kajian saintifik yang dilakasanakan oleh Dr. Shirahata di Universiti Kyushu, Jepun, mendapati 'air mujarab' mengandungi 200-300 kali  ganda hidrogen berbanding air paip biasa. Nilai ini, adakalanya didapati lebih tinggi bergantung kepada sumber 'air mujarab'."

Bersambung...


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Sekolah sebenar memang ada di luar sana...emmm


Minda: Diet - Air (episod 1)

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Airlah penyandang pertama dalam keutamaan pemakanan. Dan, kita perlu memperbetulkan segera kesilapan kita selama ini. Marilah kita beri perhatian khusus kepada kualiti air yang kita minum setiap masa.

Perhatian khusus yang bagaimana? Pertama, adakah air yang kita minum selamat? Usaha memastikan air yang diminum selamat untuk diri dan keluarga merupakan kesedaran yang perlu diberi peringatan setiap masa. Namun, apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah kesedaran yang kedua, kesedaran yang lebih penting daripada itu.

Kesedaran kedua, melangkau manfaat air yang selamat. Maksudnya, air yang dimimun bukan setakat selamat malah enak rasanya, menyuburkan, memperkayakan, mencantikkan, dan meningkatkan tahap kesihatan diri secara keseluruhan.

Air paip yang disalurkan ke rumah kita adalah air rawatan yang menggunakan kaedah penurasan asas dan klorin untuk menyingkir mikrob dan bahan pencemar daripada air tercemar. Ini akan membunuh kuman dan bakteria sekaligus menyirna sifat air yang menyihatkan badan. Kita perlu sedar bahawa meminum air berklorin telah dikaitkan dengan pelbagai penyakit termasuk komplikasi jantung, hati dan pundi kencing, barah, kerengsaan kulit (skin allergies) serta arteriosklerosis.

Adakah fenomena ini belum menakutkan kita? Benar, ianya belum cukup menakutkan!

Jerang air tadi. Ini rutin kita selama ini untuk menikmati minuman panas kegemaran di awal pagi, petang atau malam. Nah, menjerang air tadi bukan sahaja tidak dapat menyingkir klorin yang disebutkan. Ia hanya akan menukarkannya menjadi trihalometana (THM) iaitu ejen penyebab barah yang jauh lebih berbahaya!

"Mereka yang meminum air yang mengandungi trihalometana yang melebihi paras piawai selama beberapa tahun akan mengalami masalah pada hati, ginjal atau sistem saraf tunjang dan mungkin mempunyai risiko mengidap barah yang tinggi." (Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat)

Marilah kita bersama-sama prihatin dalam soal kualiti air ini. Isu ini amat kritikal terutama dalam hal penjagaan sungai, hutan dan alam sekitar umumnya. Kita sebagai guru pula khususnya, tidak cukup sekadar menanam kesedaran ini kepada para pelajar. Kita adalah role model mereka.

Bersambung...


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Air sebenar ada di luar sana...

Dan, luar sebenar didalamnya ada ini...





Sunday, May 13, 2012

Minda: Diet

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Bicara soal diet yang sihat seringkali didahului dengan jenis makanan yang perlu diambil (piramid makanan). Sedangkan ianya perlu difahami sebagai satu sistem pemakanan terlebih dahulu. Maknanya, gambaran keseluruhan kesihatan tubuh badan dalam kontek diet itulah yang perlulah difahami. Ringkasnya begini;

Pertama, ianya merujuk proses penghadaman. Dalam proses ini tiga kitaran yang terlibat;

  1. dalam perut
  2. dalam usus kecil
  3. dalam usus besar
Kedua, ianya barulah merujuk jenis makanan seimbang yang diambil berdasarkan keperluan individu. Setiap individu memerlukan diet yang berbeza disebabkan faktor umur dan aktiviti harian yang dilakukan.

Ketiga, ianya merujuk proses perkumuhan melalui perpeluhan dan pembuangan najis kecil dan besar.

Mudahkan...

Sekarang, elok kita tengok dulu secara umum dan ringkas elemen pertama dalam sistem pemakanan sihat yang dimaksudkan. Proses penghadaman. Proses ini merupakan proses penguraian makanan kepada nutrien asas (zat makanan) agar dapat diserap oleh rerambut dalam  usus kecil nanti. Air, udara dan enzim adalah komponen proses yang wajib cukup perkadarannya masing-masing. Ini melibatkan faktor kualiti dan kuantiti. Justeru, tahap inilah sebenarnya peringkat paling kritikal dalam sistem pemakanan sihat. Berikan perhatian yang sewajarnya.

Elemen kedua, piramid makanan. Saya perhatikan penerangan di laman-laman blog dan sesawang lain berkaitan topik ini amatlah memberangsangkan. Oleh itu, saya cadangkan beberapa laman di bawah:
  1. nutrition.moh.gov.my
  2. piramid makanan
  3. piramid makanan untuk rakyat Malaysia
Elemen ketiga iaitu proses perkumuhan adalah juga sinonim dengan proses nyahtoksin. Proses ini berlaku melalui perpeluhan dan pembuangan najis kecil (kencing) dan najis besar (usus besar). Di tahap ini, satu keadaan kritikal perlu diingat. Setiap kali kita makan, tengok jam. Ini untuk mengingatkan kita agar berbuat "sesuatu" seandainya masih belum berkumuh selepas 24 jam selang daripada masa yang di "tengok" tadi.

Apa yang lebih penting dalam gambaran keseluruhan sistem pemakanan ini ialah memahaminya melalui pendekatan keutamaan. Elemen-elemen pertama dan ketiga merupakan keutamaan teratas. Piramid makanan hadir kemudiannya. Jadi, berikan perhatian sewajarnya, ok...


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Diet sebenar ada di luar sana...





Saturday, May 12, 2012

Minda: Genius

Petang tadi saya menerima email daripada En. Munib. Beliau menulis ebook berkenaan minda genius.

Dalam email itu beliau mengingatkan bahawa ramai di antara kita tidak menyedari bahawa minda mempunyai kekuatan yang amat menakjubkan. Ia umpama raksasa gagah yang sedang tidur. Sebagaimana tulisan saya dalam keluaran lalu, En. Munib menegaskan juga pelbagai eksperimen yang dilakukan oleh saintis membuktikan potensi minda jauh lebih hebat dari apa yang kita sangkakan.

Menurut ahli neurologi, kita menggunakan hanya 1% dari keseluruhan keupayaan minda yang sebenar. Ini bermakna kita telah mensia-siakan 99% potensi minda yang maha hebat ini. Alangkah ruginya harta yang sangat berharga ini kita biarkan berdebu, tidak digunakan, tidak dipedulikan dan tidak dikembangkan. Minda orang dewasa mengandungi 10,000,000,000 (10 bilion) neuron atau sel saraf.

Seekor lebah yang memiliki 900 neuron mampu membuat pelbagai kerja yang mengkagumkan. Ia mampu membina indung lilin,memproses madu yang dikenali sebagai 'raja ubat', mengawal suhu dan cahaya, menghasilkan cecair pencuci untuk kerja-kerja pembersihan sarang, menganalisis cahaya, berkomunikasi, dan lain lain.

Manusia yang memiliki sepuluh bilion neuron tentu mempunyai kemampuan jutaan kali ganda dari kemampuan lebah. Cuba bayangkan orang yang mempunyai RM900.00 tentu saja boleh membeli bermacam-macam benda. Bagaimana pula kalau kita memiliki RM 10,000,000,000(10 bilion = 10 ribu juta ringgit)? Tentu tak habis 7 keturunan kan...

Sekiranya potensi minda ini betul-betul diperkembangkan dan dimanfaatkan, insyaAllah kita akan menjadi seorang Super Pintar dan mampu kekal mengingati apa sahaja maklumat selama-lamanya.

Berapa ramai cendekiawan Islam memanfaatkan keupayaan minda mereka untuk menghafal 6,236 ayat Al-Qur'an, menghafal 100,000 hadith dan menghafal puluhan kitab tebal yang mengandungi ribuan muka surat.

Mereka berupaya mengingati kitab-kitab tersebut lengkap dengan bab, muka surat, perenggan, ayat, baris, koma dan noktahnya sekali. Selain mempunyai daya hafalan yang mantap, mereka memiliki kepintaran yang luar biasa seperti yang berlaku kepada Imam Ghazali, Imam Syarie, Ibnu Farabi, Ibnu Sina dan lain-lain.

Akhir sekali, En. Munib menyatakan keyakinan bahawa mungkinlah sukar untuk kita mempunyai ketinggian ilmu seperti ulama-ulama besar yang disebutkan, tapi bagaimana jika kita hanya 10-30% daripada kemampuan akal mereka. Itu masih amat menakjubkan!

Untuk mengetahui lebih lanjut rahsia minda genius yang En. Munib maksudkan sila ke laman sewangnya  (klik di sini)


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Genius sebenar ada di luar sana...




Minda: Meditasi

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Satu elemen pelengkap dalam memastikan tubuh badan yang sihat secara menyeluruh ialah meditasi. Dalam Islam, meditasi atau Islamic meditation, merujuk empat bentuk:
  1. tasbih atau berzikir
  2. tafakkur
  3. muraqaba
  4. murabita
Subuh ini, amat sesuai topik ini dibicarakan. Cuti la katakan...

Bagi kebanyakan kita, aktiviti atau amalan berzikir ini bukanlah perkara asing. Cuma, saya ringkaskan, dalam zaman teknologi serba canggih ini, latihan berzikir sebagai suatu amalan meditasi penawar duka lara dan penyembuh segala macam stres telah mendapat sentuhan lebih mendalam oleh para saintis dan ulama. Mereka menggelarnya Heart Rhythm Technology.

Kajian demi kajian berkaitan hal ini akhirnya didedahkan kepada kita. Berzikirlah secara berkesan untuk manfaat kesihatan tubuh badan dan minda yang optima.

Saya syorkan kepada anda satu program Islamic meditation yang paling lengkap dan sistematik setakat ini. Silalah ke laman ini untuk satu pengalaman kesihatan yang paling indah! (klik pautan di bawah)




Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Meditasi sebenar ada di luar sana...

Dan, luar sebenar ada di dalam sini...



Friday, May 11, 2012

Minda: Tubuh badan yang sihat

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Kata-kata ini sangatlah jelas menerangkan maksudnya. Maka, aspek kecergasan fizikal dan pemakanan sihat akan menjadi tumpuan kita sepanjang minggu hadapan. Ianya bermula dengan satu mukadimah, jadikan berjoging rutin mingguan anda!

Ok, aktiviti yang lain juga baik. Apa yang penting pastikan setiap minggu anda akan "berkeringat", betul-betul berkeringat, sekurang-kurangnya sekali dalam minggu berkenaan. Ok?

Ok, kan...

Berpeluh sangat baik kepada tubuh badan, termasuk bahagian kepala, otak. Toksin yang dibuang melalui perpeluhan menjadikan kita berasa "ringan", segar (selepas mandi dan tidur), dan punya nafas yang mantap. Nafas yang mantap amat diperlukan oleh minda yang sihat dan elok.

Tips:

  1. sekiranya, jarang-jarang melakukan aktiviti seperti joging, tiba-tiba selepas membaca tulisan ini, anda bangkit dan terus mahu berjoging (alhamdulillah), lakukannya dengan perlahan dan sedikit-sedikit. Kesedaran anda perlu diberikan mesej "tidak menyakitkan", "mudah", dan "seronok" rupanya aktiviti ini. Kalau perlu berjalan, berjalanlah sahaja.
  2. bawa tuala kecil untuk lap peluh
  3. gunakan saranan pakar kuasa minda, semasa berjoging, dengari bersama satu adunan muzik khas (MP3) untuk berjoging. Ianya banyak terdapat di pasaran sekarang, boleh dimuat turun lagi (klik gambar di bawah). Enjoy your day...




Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Kesihatan sebenar ada di luar sana...

Dan, langkah pertamanya ada di dalam sini...

Minda: Lesson plan

Penyediaan lesson plan atau rencana pelajaran meluas dilaksanakan di negara barat. Itu yang saya tahu. Kita pun menyerapkan gaya pengajaran dan pembelajaran ini dalam sistem kita. Saya akui memang banyak manfaat yang dapat kita senaraikan. Namun, bukan hal itu yang hendak disentuh pagi ini.

Saya sebenarnya mahu melihat rencana pelajaran ini mesra minda. Justeru, tidak keterlaluan andainya rencana pelajaran ini punya ruang kebebasan untuk para guru menterjemahnya menurut kreativiti masing-masing. Saya tidak punya cadangan menarik sekarang, sejujurnya. Cuma di kala ini terus-terang dikatakan menyediakan rencana pelajaran adalah beban. Sepatutnya, guru yang benar-benar mahu menjadi guru akan berasa seronok dengan aktiviti menyedia rencana pelajaran. Dan, saya benar-benar mahu menjadi guru. Dan, saya kurang seronok menyedia rencana pelajaran yang agak statik ini.

Apa pun, hal ini masih di kategori kes terpencil. Biarlah...

Saya pun terus menaip rencana pelajaran berkaitan. Lalu saya print. Bismillahir Rahmanir Rahim...

Sejurus
aku failkan
seelok-eloknya
setiap helaian ku untukkan
satu belaian.

Ku hembuskan nafas penuh
berisi doa dan harapan
tiada sedikit pun rasa jenuh
menatapi raut rupa lesson plan.

Sejurus
aku tutup fail
seelok-eloknya
setiap sentuhan ku untukkan
satu keyakinan.


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Rencana pelajaran sebenar ada di luar sana...





Thursday, May 10, 2012

Minda: Kesegaran

Kesegaran sebenar ada di luar sana...

Keletihan yang melanda diri adalah normal.

Petang ini, saya merenung jauh ke suatu tempat
dengan harapan menemui sesuatu.
Dan, tuntunan minda betul
aku menemuinya di sini.

Menatap untuk beberapa detik
aku tenggelam
didalamnya.

Mindaku sejuk
segar
bugar.

Aku menerjuni kebiruan itu
penuh keriangan
bebas.

Kebiruan ini
menawariku nafas kelegaan
benar-benar nafas kelegaan.

Si hijau
sedikit-sedikit
merenungku
"i am here too..."
teriaknya.

Aku tersenyum...
"thank you..."
bisikku.


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.

Kesegeran sebenar ada di luar sana...


Minda: Separa sedar dan potensi

Hari ini, saya bersama suami bersarapan seperti biasa, selepas subuh. Sebentar lagi saya akan sekolah. Seperti biasa. Perkara yang agak baru ialah selepas subuh dan sebelum bersarapan, saya akan membuat sedikit kesimpulan dalam coretan yang saya tulis semalam untuk dimuatkan ke dalam blog pada pagi berikutnya.

Hari ini juga saya dapat merasakan satu keyakinan yang kian mendalam berkenaan peranan sebenar guru sekolah seperti kita ini. Ianya berkaitan bakat dan potensi.

Guru-guru di sekolah punya keizinan sebagai "lesen" daripada masyarakat untuk melaksana sesuatu terhadap anak mereka dalam erti kata menggilap bakat dan potensi anak-anak ini.

Dan, kita tahu sekarang bahawa 90% keupayaan keseluruhan manusia termasuk anak-anak ini terkandung dalam minda separa sedar. Disinilah potensi sebenar yang perlu kita gilap agar bertambah gemilang pancaran cahayanya.

Kita juga mengakui pencanaian yang dimaksudkan bukanlah suatu hal yang mudah. Namun, seperkara yang pasti ialah kita sedang berada dalam landasan keyakinan yang betul lagi benar. Berasa gembira dengan hakikat itu sahaja pun bermakna kita sudah berjaya melaksanakan tugasan yang fundamental lagi kritikal.

Guru. Potensi pelajar. Minda separa sedar.


Alllah s.w.t jua yang Maha Mengatahui segalanya.


Potensi sebenar ada di luar sana...




Wednesday, May 9, 2012

Minda: Akustika dalam bilik darjah

Kita sambung sedikit dalam kesempatan yang terhad petang ini perihal rekaan dalaman bilik darjah dan minda separa sedar.

Kenyataan ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri mengadaptasi konsep akustika dalam pengajaran dan pembelajaran sesuai saranan para pakar dalam bidang peningkatan kuasa minda.

Penyerapan akustika dalam kelas bermaksud penggunaan bunyian (bukan muzik) dalam kelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini amat mudah diaplikasi. Cuma semakin berkualiti perkakasan bunyian yang digunakan maka semakin tinggilah kesan positif yang akan diperolehi. Seterusnya, kesan akustika ini juga berkurangan dengan pengaruh faktor luaran lain seperti keadaan kelas yang bergema dan bunyian bising lain yang terbit daripada luar bilik darjah.

Apakah bunyian yang digunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran? Kajian telah membuktikan, sejenis bisingan yang digelar white noise atau bisingan putih amat digalakkan penyerapannya semasa aktiviti yang memerlukan tumpuan yang tinggi. Oleh itu, ianya amatlah sesuai digunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajan dalam kelas.

Bisingan putih ini adalah seiras bunyian rintikan hujan lebat yang menyirami dedaun tumbuhan yang menghijau. Selain itu, pilihan lain yang sering digunakan ialah deruan ombak membelah pantai atau jatuhan air terjun teramat menyegarkan. Dan, di sebalik bunyian ini terkandung sejenis gelombang/degupan/bit yang bergetar melebihi 14 Hz.

Apa pun, selama saya mengadaptasi teknik ini, para pelajar saya memperlihatkan tumpuan yang mengkagumkan sekali!


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya. 


Akustika sebenar ada di luar sana...



Minda: Sedar dan separa sedar

Bicara soal minda semakin menyelam sedalam-dalamnya. Kita sebagai guru seharusnya mengikuti perbincangan mengenainya sedekat mungkin agar pengajaran dan pembelajaran kita bertambah berkat. Maknanya pengajaran dan pembelajaran yang semakin bertenaga lagi berkuasa. Pagi ini, saya tidak berniat mengulas panjang lebar berkenaan teori atau kajian terperinci tentang minda sedar dan separa sedar. Hal itu, ketika ini sudah banyak diperkatakan dan boleh diakses dengan mudah di banyak laman sesawang yang lebih layak lantaran kepakaran mereka.

Seperkara yang ingin disedut ke nukilan ringkas ini ialah soal reaksi kita yang perlahan, terlalu perlahan, terhadap perkembangan dunia minda sedar dan separa sedar. Hari demi hari, rahsia demi rahsia minda sedar dan separa sedar dibongkar. Namun, kita masih belum mahu bingkas lalu segera menggubal modul rasmi pendidikan untuk dimasukkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Ianya masih diletakkan sebagai inisiatif guru masing-masing. Kreativiti guru masing-masing. Maknanya, soal minda sedar dan separa sedar ini masih belum dianggap sebagai satu keutamaan dalam pelaksanaan rencana pendidikan negara.

Sebenarnya, "minda sedar dan separa sedar" ini hanyalah istilah sains moden yang cuba menggambarkan "akal" dengan konotasi "misteri". Walhal ia adalah akal itu sendiri. Akal berakar daripada istilah Arab al-'akl.

Perbincangan berkaitan akal sangatlah memerlukan daya konsentrasi tinggi dan penuh. Tenaga fokus yang digunakan semamangnya besar. Ini kerana kadar kekeliruan untuk berlaku amat tinggi. Tidak hairanlah budaya untuk mengangkat ilmu ini masih kabur dalam masyarakat kita di sini. Apatah lagi dalam kawasan sekolah kita.

Justeru, warga guru harus aktif memain peranan dalam hal ini. Kita wajar membudayakannya terlebih dahulu dalam lingkungan kita. Lalu, kita perlu pantas dan kemas menyulam ilmu ini ke dalam pengajaran dan pembelajaran kita di sekolah. Ini kerana kita punya misi sekolah yang jelas dan laluan inilah sahaja yang dapat membawa kita kepada pencapaian yang diidami itu.

Dan, kita maklum bahawa kecemerlangan akademik pelajar merupakan faktor dominan untuk memenuhi kriteria pencapaian yang disebutkan. Maka kita perlu aktifkan segera punat minda separa sedar para pelajar dan guru agar pencapaian dapat diperolehi secara quantum leap atau melangkaui batas masa. Bentuk latihan bertubi-tubi di sekolah tidak akan serupa lagi seperti sebelumnya kerana punat minda separa sedar sudah diaktifkan.

Maknanya, dalam kebanyakan episod pengajaran dan pembelajaran di sekolah, minda sedar guru dan pelajar akan disenyapkan. Ya, minda sedar para pelajar dan guru "senyap". Minda separa sedar yang mengemudi sekarang. Minda separa sedar yang melakukan pengajaran dan pembelajaran. Minda separa sedar yang akan mengubah diri para pelajar secara menyeluruh agar stabil menerima kecemerlangan demi kecemerlangan.

Kelihatan hal ini terlalu melangit sifatnya kan... Tetapi, tidak, jawabnya kalau kita menggapnya mustahil. Para pakar dalam bidang ini sudah banyak bukti berkaitan keupayaan minda sedar dan separa sedar ini. Keadaan ini boleh berlaku kerana 90% keupayaan akal berada dalam kawasan minda separa sedar.

Maknanya, paling kurang 50% kejayaan misi sekolah sudah berada dalam tangan kita dengan hanya meyakini hakikat ini!


Allah jua yang Maha Megetahui segalanya.

Akal sebenar ada di luar sana...



Tuesday, May 8, 2012

Rekaan dalaman bilik darjah

Subuh ini saya hendak menyentuh sedikit bab rekaan dalaman bilik darjah yang bukannya satu perkara baru. Sudah begitu ramai pengkaji yang telah membuktikan bahawa faktor keserasian bilik darjah dengan perkembangan positif minda para pelajar amatlah berkait rapat.

Secara ringkas, rekaan dalaman bilik darjah bukanlah suatu inisiatif yeng memerlukan bajet besar. Kreativiti "besar" yang semestinya diperlukan. Rekaan dalaman yang disyorkan oleh para pakar sangat mudah untuk diikuti. Justeru, sewajarnya tiada alasan lagi untuk para guru dan murid untuk tidak mengambil berat akan hal ini.

Asas pengetahuan rekaan dalaman bilik darjah sama sahaja dengan asas ilmu rekaan dalaman yang lain. Cuma di sini fungsinya amat jelas iaitu bilik darjah sekolah rendah. Maknanya elemen seperti meja dan kerusi yang banyak, sudut mini perpustakaan dan sudut papan makluman perlulah disusun sekemas yang boleh. Kemas itu yang ingin saya sentuh.

Asas ilmu rekaan dalaman melibatkan dua faktor penting. Ruang dan warna. Itu sahaja. Ruang dan warna bilik darjah sekolah yang hendak kita wujudkan nanti hendaknya menterjemah kekemasan yang dimaksudkan.

Ruang bilik darjah dan kemas secara umumnya bergantung kepada saiz dan bentuk bilik darjah itu sendiri. Apa pun saiz dan bentuknya, ruang yang kemas bermaksud para pelajar dan guru dapat bergerak dan "bernafas" sebebasnya antara susunan kerusi, meja dan "benda tidak bernyawa" yang lain dalam kelas.

Warna dan kemas pula mengundang ilmu spektrum warna dan psikologi. Umumnya, warna untuk psikologi  bilik darjah yang kemas ialah warna sekunder. Warna ini sesuai untuk latar belakang kelas. Dan, bilangan warna latar belakang kelas yang dipilih pula tidak melebihi  dua warna. Warna sekundar jingga "suam" yang dapat menerbitkan rangsangan optisme para pelajar amatlah digalakkan. Warna-warna lain yang hendak dimasukkan dalam bilik darjah (warna langsir umpamanya) perlulah menurut spektrum (tone) warna latar belakang yang dipilih. Boleh saja warna yang berbeza cuma ia tidak seharusnya terlalu berlawanan kerana ia mengundang distraction atau gangguan separa sedar. Gangguan tumpuan para pelajar boleh juga disebabkan oleh bilik darjah yang berwarna-warni (tidak termasuk tadika dan tabika).

Mudahkan. Selepas ini, para guru dan murid bolehlah memulai rekaan dalaman (bukan hiasan!) bilik darjah dengan hanya membuat sentuhan asas terlebih dahulu. Asas ini adalah fundamental. Faktor lain yang wajar diberi perhatian seperti pencahayaan, akustika dan pengaruh teknologi, kita akan bincang nanti di kemudian hari...


Allah jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Rekaan luaran...