Hari ini 7 Mei 2012. Angka 7 itu telah mengingatkan saya kepada usia perkhidmatan dalam perguruan. Selama lebih 7 tahun dalam perkhidmatan, pengalaman yang dikutip tidaklah dapat dinilai dengan apa sekali pun. Hakikatnya, saya amat bersyukur dengan peluang menimba pengalaman yang diberikan Allah s.w.t ini.
Kerap kali, di kala memasuki kawasan sekolah, soal kepelbagaian insan yang akan ditemui nanti menjadi minat akal untuk dihalusi. Kerencaman ini, kekadang dirasai sangat misteri. Maha Berkuasa Allah s.w.t. Sungguh pun orang yang sama akan ditemui nanti, keadaan mindanya, perilakunya dan elemen dirinya yang lain tidak pernah sesekali serupa dengan sebelumnya.
Para pelajar sebagai anak-anak didik adalah juga merupakan pelanggan sekolah. Dan, jumlah mereka ini pula bukannya sedikit, 600 orang lebih. Sesetengah sekolah lain boleh mencecah 1000 orang lebih! 600 orang pelanggan datang memasuki satu kawasan yang sama setiap hari, membawa 1001 macam kerencaman, dan mampu menawarkan sekurang-kurangnya RM600.00 sehari (andaian: seorang membawa RM1.00). Keadaan ini pula berlaku untuk jangka masa 5 ke 6 tahun. Dengan sedikit hitungan ini saja pun kita sudah boleh membuat pelbagai reaksi daripada pelbagai sudut pandangan.
Akal saya beralih pula kepada tumpuan lain.
Keadaan minda. Setiap insan yang berada dalam kawasan sekolah punya keadaan minda yang berbeza-beza. Namun, kesemuanya terarah secara rela dan paksa rela kepada "sekolah". Sekolah konotasinya "ilmu", lebih kurang. Justeru, Alhamdulillah. Sama ada disedari atau tidak disedari hakikat inilah sebenarnya yang berlaku. Keunikan istilah "sekolah" secara langsung dapat mengubah persepsi setiap individu yang memasuki kawasannya. Suasana yang dihidangkan akan diserasikan dengan konotasi yang sama juga.
Akal saya sangat teruja dengan halusan-halusan ini. Pemurnian kefahaman ini telah membuatkan saya bersetuju dengan segera untuk mengundang semula bicara minda dan kerencamannya dalam episod yang mendatang.
Akal saya amat lega dengan hirupan nafas kesedaran yang sungguh menyegarkan ini...
Allah jua yang Maha Mengetahui segalanya...
Minda sebenar berada di luar sana... |
Dan, luar sebenar berada di dalam sini... |
No comments:
Post a Comment