Showing posts with label water. Show all posts
Showing posts with label water. Show all posts

Tuesday, May 15, 2012

Minda: Diet - Air (siri akhir)

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.


Kita maklum kini bahawa air merupakan bab utama dalam pemakanan. Berikan perhatian khusus kepadanya. Pertama, (ulangan) sebagaimana saranan pakar-pakar pemakanan, amat penting bagi tubuh badan berada dalam keadaan pH yang optimum iaitu antara 7.35 - 7.45. Air beralkali adalah jawabnya. Dan, ya air Zam-zam merupakan air beralkali paling mujarab kuasa penawarnya setakat ini.

Sebenanarnya, tubuh badan kita punya penampan-penampan (buffers) semulajadi untuk mengekalkan tahap pH optimum ini. Namun, keseimbangan ini diganggu gugat lantaran gaya pemakanan yang kurang sihat dan tekanan hidup untuk jangka masa yang panjang. Usia yang semakin lanjut juga akan mempengaruhi keseimbangan pH badan.

Apa yang akan berlaku ialah pH badan bertukar menjadi lebih berasid akibat daripada tekanan hidup (stres), pengambilan makanan ringan yang berlebihan atau proses penuaan semulajadi. Maka tubuh badan pun menderitai pelbagai masalah kesihatan kronik.

Keduanya, air yang bertenaga! Berdasarkan kajian mendalam ke atas kristal beku, Dr. Masuru Emoto, seorang pakar dan penulis buku "Message in water" menyarankan bahawa di dunia, air adalah satu-satunya jirim yang dapat "menyimpan" kesan tenaga positif atau negatif apabila terdedah kepada tenaga-tenaga tersebut. Proses ini digelar sebagai kesan gema atau "resonance effect"!

Maknanya, apabila air terdedah kepada bahan tenaga positif seperti butiran seramik FIR dan medan magnetik, secara teorinya, air akan menyimpan gema positif yang punya kuasa penyembuh. Bukan setakat itu, menurut Dr. W. H Kim, profesor dari Universiti Yonsei, Korea, tenaga juga boleh disalurkan secara fizikal dengan memutarkan air. Air berpilin membantu meningkatkan tahap hidrogen dan oksigen. Wallahualam.



Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Air sebenar ada di luar sana...

Dalam sini juga ada di luar sana...



Minda: Diet - Air (episod 3)

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.


Hidrogen terlarut adalah antioksidan yang terbaik kerana ia amat mudah untuk menderma elektron-elektron untuk menstabilkan radikal bebas.

Memandangkan radikal-radikal bebas merupakan salah satu penyebab utama penuaan dan menyingkirkannya adalah mustahak untuk penjagaan kesihatan, maka air yang kaya dengan hidrogen amat bernilai untuk menangani penyakit-penyakit uzur.

Apabila kita meminum air berhidrogen, elektron yang berlebihan pada hidrogen akan berpasangan dengan radikal bebas yang kekurangan elektron. Tindak balas neutralisasi radikal bebas ini selanjutnya menghasilkan H2O (air) yang tidak meninggalkan kesan sampingan bahaya terhadap sistem tubuh badan. Oleh itu, hidrogen di dalam air dikenal pasti sebagai antioksidan yang amat mujarab. Wallahualam.



Bersambung...


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Air sebenar ada di luar sana...

Dan, luar sebenar ada di dalam sini...


Monday, May 14, 2012

Minda: Diet - Air (episod 2)

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Aduhai...

Beberapa tahun yang sudah, kita agak heboh dengan pendedahan para saintis dan pakar pemakanan tentang air beralakali yang punya rahsia kesihatan dan penyembuhan.

Tidak lama selepas itu, kemajuan pengetahuan berkaitan air maju setapak lagi dengan penemuan dan pendedahan bahawa airlah satu-satunya jirim di dunia yang dapat menyimpan kesan tenaga positif atau negatif apabila terdedah kepada tenaga-tenaga tersebut.

Dan, terkini kita dikejutkan dengan satu lagi keajaiban air. Air Mujarab. Kajian telah dilakukan ke atas beberapa sumber air di merata pelusuk dunia. Tempat-tempat ini amat terkenal dengan kunjungan setiap tahun ribuan manusia yang mengalami pelbagai masalah kesihatan. Mereka menggelar tempat-tempat ini "tempat suci".

Kunjungan mereka ke kawasan suci ini dengan satu tujuan sahaja - meminum air mujarab. Mereka berkelana ke mata air Lourdes yang terletak di Peranchis. Ada pula yang berkunjung ke gua Nordenau di Jerman. Atau, pilihan lain ialah mengembara ke telaga Tlacote, Mexico dan telaga Nadana, India...

Apakah sebenarnya yang mendorong mereka ini berkelana begitu jauh dari tanah air sendiri. Pengunjung-pengunjung ini percaya bahawa air yang terhasil secara semulajadi di kawasan-kawasan yang dinyatakan punya potensi memperlahankan proses penuaan dan berupaya mengubati masalah kesihatan kronik mereka!

Hakikatnya, adakah "air mujarab" ini sama seperti air minum biasa? Jawapannya sudah tentu tidak, dan perbezaannya amatlah ketara. Hidrogen! "Air mujarab" yang ditemui di kawasan-kawasan suci ini bukanlah mitos atau khayalan semata-mata. "Air mujarab" ini mempunyai satu persamaan lazim yang menakjubkan - kaya dengan hidrogen !

"Dalam satu kajian saintifik yang dilakasanakan oleh Dr. Shirahata di Universiti Kyushu, Jepun, mendapati 'air mujarab' mengandungi 200-300 kali  ganda hidrogen berbanding air paip biasa. Nilai ini, adakalanya didapati lebih tinggi bergantung kepada sumber 'air mujarab'."

Bersambung...


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Sekolah sebenar memang ada di luar sana...emmm


Minda: Diet - Air (episod 1)

Tubuh badan sihat, minda pun sihat.

Airlah penyandang pertama dalam keutamaan pemakanan. Dan, kita perlu memperbetulkan segera kesilapan kita selama ini. Marilah kita beri perhatian khusus kepada kualiti air yang kita minum setiap masa.

Perhatian khusus yang bagaimana? Pertama, adakah air yang kita minum selamat? Usaha memastikan air yang diminum selamat untuk diri dan keluarga merupakan kesedaran yang perlu diberi peringatan setiap masa. Namun, apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah kesedaran yang kedua, kesedaran yang lebih penting daripada itu.

Kesedaran kedua, melangkau manfaat air yang selamat. Maksudnya, air yang dimimun bukan setakat selamat malah enak rasanya, menyuburkan, memperkayakan, mencantikkan, dan meningkatkan tahap kesihatan diri secara keseluruhan.

Air paip yang disalurkan ke rumah kita adalah air rawatan yang menggunakan kaedah penurasan asas dan klorin untuk menyingkir mikrob dan bahan pencemar daripada air tercemar. Ini akan membunuh kuman dan bakteria sekaligus menyirna sifat air yang menyihatkan badan. Kita perlu sedar bahawa meminum air berklorin telah dikaitkan dengan pelbagai penyakit termasuk komplikasi jantung, hati dan pundi kencing, barah, kerengsaan kulit (skin allergies) serta arteriosklerosis.

Adakah fenomena ini belum menakutkan kita? Benar, ianya belum cukup menakutkan!

Jerang air tadi. Ini rutin kita selama ini untuk menikmati minuman panas kegemaran di awal pagi, petang atau malam. Nah, menjerang air tadi bukan sahaja tidak dapat menyingkir klorin yang disebutkan. Ia hanya akan menukarkannya menjadi trihalometana (THM) iaitu ejen penyebab barah yang jauh lebih berbahaya!

"Mereka yang meminum air yang mengandungi trihalometana yang melebihi paras piawai selama beberapa tahun akan mengalami masalah pada hati, ginjal atau sistem saraf tunjang dan mungkin mempunyai risiko mengidap barah yang tinggi." (Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat)

Marilah kita bersama-sama prihatin dalam soal kualiti air ini. Isu ini amat kritikal terutama dalam hal penjagaan sungai, hutan dan alam sekitar umumnya. Kita sebagai guru pula khususnya, tidak cukup sekadar menanam kesedaran ini kepada para pelajar. Kita adalah role model mereka.

Bersambung...


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Air sebenar ada di luar sana...

Dan, luar sebenar didalamnya ada ini...