Showing posts with label classroom design. Show all posts
Showing posts with label classroom design. Show all posts

Tuesday, May 8, 2012

Rekaan dalaman bilik darjah

Subuh ini saya hendak menyentuh sedikit bab rekaan dalaman bilik darjah yang bukannya satu perkara baru. Sudah begitu ramai pengkaji yang telah membuktikan bahawa faktor keserasian bilik darjah dengan perkembangan positif minda para pelajar amatlah berkait rapat.

Secara ringkas, rekaan dalaman bilik darjah bukanlah suatu inisiatif yeng memerlukan bajet besar. Kreativiti "besar" yang semestinya diperlukan. Rekaan dalaman yang disyorkan oleh para pakar sangat mudah untuk diikuti. Justeru, sewajarnya tiada alasan lagi untuk para guru dan murid untuk tidak mengambil berat akan hal ini.

Asas pengetahuan rekaan dalaman bilik darjah sama sahaja dengan asas ilmu rekaan dalaman yang lain. Cuma di sini fungsinya amat jelas iaitu bilik darjah sekolah rendah. Maknanya elemen seperti meja dan kerusi yang banyak, sudut mini perpustakaan dan sudut papan makluman perlulah disusun sekemas yang boleh. Kemas itu yang ingin saya sentuh.

Asas ilmu rekaan dalaman melibatkan dua faktor penting. Ruang dan warna. Itu sahaja. Ruang dan warna bilik darjah sekolah yang hendak kita wujudkan nanti hendaknya menterjemah kekemasan yang dimaksudkan.

Ruang bilik darjah dan kemas secara umumnya bergantung kepada saiz dan bentuk bilik darjah itu sendiri. Apa pun saiz dan bentuknya, ruang yang kemas bermaksud para pelajar dan guru dapat bergerak dan "bernafas" sebebasnya antara susunan kerusi, meja dan "benda tidak bernyawa" yang lain dalam kelas.

Warna dan kemas pula mengundang ilmu spektrum warna dan psikologi. Umumnya, warna untuk psikologi  bilik darjah yang kemas ialah warna sekunder. Warna ini sesuai untuk latar belakang kelas. Dan, bilangan warna latar belakang kelas yang dipilih pula tidak melebihi  dua warna. Warna sekundar jingga "suam" yang dapat menerbitkan rangsangan optisme para pelajar amatlah digalakkan. Warna-warna lain yang hendak dimasukkan dalam bilik darjah (warna langsir umpamanya) perlulah menurut spektrum (tone) warna latar belakang yang dipilih. Boleh saja warna yang berbeza cuma ia tidak seharusnya terlalu berlawanan kerana ia mengundang distraction atau gangguan separa sedar. Gangguan tumpuan para pelajar boleh juga disebabkan oleh bilik darjah yang berwarna-warni (tidak termasuk tadika dan tabika).

Mudahkan. Selepas ini, para guru dan murid bolehlah memulai rekaan dalaman (bukan hiasan!) bilik darjah dengan hanya membuat sentuhan asas terlebih dahulu. Asas ini adalah fundamental. Faktor lain yang wajar diberi perhatian seperti pencahayaan, akustika dan pengaruh teknologi, kita akan bincang nanti di kemudian hari...


Allah jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Rekaan luaran...



Monday, May 7, 2012

Minda: Elemen kesedaran

Kemampuan kita menyedari perihal dunia dan pengalaman-pengalaman, keupayaan kita berfikir dan merasai segala sesuatu merupakan elemen diri yang digelar minda. Ia adalah fakulti kesedaran dan pemikiran. Di zaman kita sekarang ini, pola-pola minda sudah pun dapat direkod dengan lebih tepat dengan penggunaan pelbagai alat dan mesin yang serba canggih. Peralatan ini akan dihubungkan dengan dua organ dalaman yang saling berkaitan secara langsung membentuk minda iaitu jantung dan otak.

Perbincangan berkaitan minda secara ilmiah pula bukannya perkara baru. Beratus-ratus kajian saintifik yang serius dan spesifik telah dibuat berkaitan kesan lenturan gelombang otak sejak lebih 70 tahun yang lalu lagi. Saintis mendapati lenturan gelombang otak terbukti memberi kesan positif pada peningkatan keupayaan minda dan kestabilan psikologikal.

Nukilan petang ini hanyalah sebagai membuka pintu gerbang. A warming up.

Elemen diri yang digelar kesedaran ini adalah punca segala sesuatu kerana ia berhubung secara langsung dengan Allah s.w.t. Manifestasi baik dan buruk dalam dunia ini berpunca daripadanya. Justeru, usaha menatang keadaan-keadaan minda ini wajib diberi keutamaan yang paling tinggi. Apatah lagi bagi kita sebagai guru sekolah khususnya, ketibaan makna perihalan minda ini amatlah dinanti-nanti dan diperlukan. Bukan sahaja untuk tujuan pelaksanaan tugasan perkhidmatan malah lebih daripada itu untuk penyempurnaan diri sendiri.

Manifetasi baik dan buruk di sekolah kita khususnya merupakan hasil kesedaran penuh dan separa yang sudah terbentuk, sedang dibentuk dan akan dibentuk oleh semua minda pemimpin masyarakat, pentadbir atasan, pentadbir setempat, para guru dan ibu bapa. Seterusnya, minda para pelajar kitalah yang paling utama kerana kesedaran penuh dan separa mereka yang sedang kita warnai sekarang ini kan...Para pelajar kan pelanggan sekolah kita. Dan, kita mahu melihat hasil melalui kayu ukur yang jelas. Makanya kita menggunakan UPSR, prestasi sekolah dan seumpamanya.

Justeru, kita sangat memahami sekarang untuk mendapatkan kegemilangan sekolah berdasarkan skala yang telah ditentukan, kesedaran penuh dan separa para pelajarlah yang paling penting. Apa pun modul dan pendekatan yang hendak digubal, khususnya untuk sekolah kita, perihal minda sedar dan separa sedar inilah yang perlu diutamakan. Andainya ikhtiar kita sampai ke tahap keperluan merombak semua perkara pengajaran dan pembelajaran agar serasi dengan keutamaan yang disebutkan, kita wajib lakukannya. Andainya ikhtiar kita sampai ke tahap keperluan merombak reka bentuk dalaman dan luaran sekolah, kita perlu berani ambil risiko demi keserasiannya dengan perangsangan minda pelajar. Interior design, interior decor, classroom design, classroom decor, and school landscaping merupakan antara istilah-istilah yang mencelik akal kita untuk hal yang dimaksudkan. Saya yakin, kita akan dapat meraih hasil yang diidami dengan lebih pantas dan kemas hanya melalui laluan ini.

Mengungkap realiti baik dan buruk di sekolah juga, kita maklum akan berita yang menakutkan berkaitan disiplin pelajar di serata Malaysia yang bukannya rahsia lagi. Saya tidak berniat untuk meninjaunya di sini. Saya cuma ingin menyatakan satu keyakinan bahawa masalah disiplin pelajar sama saja halnya dengan masalah disiplin orang dewasa. Ianya merupakan masalah kesedaran yang universal. Dan, kita harus ingat bahawa maksud "masalah" di sini ialah kesenjangan antara perkara ideal dengan perkara nyata dalam kontek yang sama. Maknanya, sifir yang perlu digunakan untuk mengurus kesenjangan berkenaan adalah daripada jadual sifir kesedaran yang sama juga. Kita berdoa agar hal teruk-teruk tu dijauh-jauhkanlah daripada sekolah kita. Amin.


Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui segalanya.


Kesedaran sebenar ada di luar sana...